Tanggal 24 September 2012….. Inilah tahun terakhir menyambut ulangtahun kelahiran di era umur 30an. Sekiranya dipanjangkan umur, tahun depan aku akan berumur 40 tahun.
Bagi sesetengah golongan berpendapat “life begins at 40”. Tapi hati aku tidak merasakan begitu. Semakin hari aku merasa semakin dekat penghujung usiaku ini. Sebenarnya tidak ada sesiapa yang mengetahui ajal maut mereka. Teori hidup aku simple. Umur umat Rasulullah s.a.w sekitar 60 tahun. Aku telah melalui 2 per 3 dari teori jangkahayat tersebut. Sekiranya diizinkan Allah, berbaki 1 per 3 sahaja lagi , bahkan mungkin lebih pendek dari itu.
PENCAPAIAN
Sebenarnya 2 tahun kebelakangan ini, tidak ada sebarang pencapaian yang aku kecapi. Ianya lebih merupakan era kejatuhan dalam hidup aku. Jika diukur sepanjang 39 tahun ini, tahap pencapaian aku mulai menuju kegemilangan sejak aku berkhidmat di dalam Tentera Udara dulu. Banyak perkara yang aku lakukan menjadi. Dari bidang sukan, kerjaya dan social network amat menyerlah dan diterima baik oleh semua yang berada dipersekitaran aku. Terasa diri bagaikan “all rounder”
Kemuncaknya beberapa tahun setelah aku menamatkan perkhidmatan, aku berjaya mendapatkan beberapa kontrak kerajaan dengan nilai ratusan ribu ringgit. Memang terasa puas dan bangga.
DUGAAN HIDUP
Aku sebenarnya seorang yang sangat simple. Aku tak berapa kisahkan perkara-perkara remeh. Apa juga yang aku lakukan, aku aim kan pada agenda utama dan memastikan matlamat utamanya sampai. Tetapi aku tak dapat mengenepikan dugaan-dugaan dari Allah.
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
(Al-Ankabut: 2-3)
Segalanya bermula apabila aku mengambil keputusan untuk berkahwin semasa berusia 25 tahun yang lalu. Mengikut hukum agama dan hukum alam, perkahwinan aku sepatutnya tidak mempunyai masalah. Namun perkara-perkara remeh yang aku ignore selama ini menjadi parah akhirnya. Dengan sekelip mata aku dihukum sebagai anak derhaka. Tidak adil bagi aku. Kenapa orang tua aku perlu ada pilihan mereka sendiri. Sedangkan kriteria yang aku mahukan hanya sekadar seorang yang belajar agama.
Kehidupan ini milik Allah, aku hanya perlu melaluinya mengikut kehendakNYA.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
(Al-Baqarah: 214)
Bila tiba masa yang ditentukan Allah, semuanya akan terjadi. Kadang-kadang serentak, kadang-kadang tak terfikir dek akal kita. Kerugian syarikat, ulang-alik ke Institut Jantung Negara, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kajang, sekolah anak-anak, peperiksaan dan pelbagai skrip drama yang lazimnya aku tengok di kaca tv, aku harus laluinya seorang diri.
Namun semuanya yang terjadi pasti ada hikmahnya. Banyak yang kita dapat belajar melaluinya sekiranya kita mahu berfikir. Aku sedang melihat rentak orang-orang dipersekitaran aku selama ini. Barulah kita kenal dan faham. Walaupun pahit, namun tetap ada hikmahnya.
HARAPAN DAN DOA
Aku bersyukur dengan kehidupan aku selama ini. Walaupun tidak mempunyai apa-apa, sekurang-kurangnya aku terselamat dari dugaan kekufuran kepadaNYA. Aku perlu mengumpul tenaga dan fokus untuk hari mendatang yang entah berapa hari saja lagi yang tinggal untuk aku. Hidup perlu diteruskan KERANA Allah UNTUK diri sendiri dan manusia lain.
PESANAN KEPADA ANAK-ANAK
Tak banyak yang ayah boleh berikan kebelakangan ini. Tapi banyak reality kehidupan yang telah kita lalui. Ianya sangat berguna untuk masa depan anak-anak ayah. Tidak ada yang mustahil, semuanya berkemungkinan. Kejayaan tak kan kekal. Kenali insan-insan yang berada disekeliling kita dengan sebenar-benar kenal. Jangan leka dengan kejayaan. Jangan tertipu dengan kemewahan. Usaha tidak boleh berhenti. Fahamilah maksud keikhlasan yang sebenar. Sentiasa bersyukur kepadaNYA.
PESANAN KEPADA ISTERI
Banyak sangat yang kita lalui bersama. Susah, senang, pujian, cemuhan. Dan mungkin ada orang lain yang tak pernah lalui seperti yang kita lalui. Jadi, jangan biarkan anak-anak kita rasa apa yang pernah kita rasa. Jangan jadikan mereka menjadi anak yang derhaka hanya kerana perkara-perkara remeh. Mungkin sudah tiba masanya kita sibukkan diri kita mencari tempat di akhirat daripada merancang aktiviti-aktiviti duniawi anak-anak kita.
Jangan sesekali gadaikan kebaikan yang pernah kita lakukan dengan mengungkitnya pada manusia lain. Apa yang dikatakan satu kerugian di dunia ini, sebenarnya kita boleh redeem di akhirat. Jangan sampai kita rugi di dunia, di akhirat yang abadi juga kita rugi. Berdiam diri adalah lebih baik. Matlamat abang memperisterikan isteri yang boleh mengajar anak-anak abang dengan ilmu fardhu Ain sudah tercapai. Walaupun abang dilabel derhaka. Walaupun masa depan anak-anak tidak dapat kita tentukan, tetapi tanggungjawab kita sudahpun kita laksanakan sebaiknya.
Akhir sekali, marilah kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita sedang ada walaupun sedikit dan menghalalkan apa yang sepatutnya menjadi milik kita tetapi tidak menjadi milik kita.