Isnin, 6 April 2009

AL KISAH




AL-KISAH

Di sebuah kampung yang tidak terlalu terpencil tetapi agak kecil, keadaan kampung kelihatan sejahtera tetapi penduduk kampung tersebut mempunyai masalah hendak memilih imam dikampung mereka.

Imam yang baru dilantik ini, adalah anak watan kampung ini, agak berumur dan merupakan timbalan imam sebelum ini. Hanya berpendidikan sekolah pondok tetapi menjadi pengunjung utama masjid sejak 30 tahun lalu sebelum dilantik menjadi AJK masjid sehinggalah dilantik memnjadi timbalan imam.

Mereka yang bersetuju dengan imam baru ini dinamakan Pasukan Lama. Mereka menyokong imam ini adalah dikalangan AJK-AJK masjid, jiran tetangganya dan mereka yang berfikiran sederhana.
i. Mereka menerima imam ini kerana imam ini adalah anak watan
kampung yang kenal dan memahami keperluan warga kampung.

ii. Mereka telah melihat kepimpinan imam ini sejak menjadi AJK masjid hingga menjadi timbalan imam agak sederhana. Jika ada yang tak kena di hati pun mungkin kerana kehendak imam sebelum ini.

iii. Mereka sudah agak pasti cara imam baru ini mengendali wang tabung masjid, pengurusan nikah kahwin dan kematian dikampung itu serta aktiviti-aktiviti mengimarahkan masjid tersebut.


KEMUNCULAN KONFLIK

Masalah muncul apabila terdapat seorang lagi yang dipercayai layak menjadi imam oleh sebilangan orang kampung tersebut. Maka wujudlah Pasukan Baru. Calon imam ini berasal dari kampung sebelah dan menjadi ahli qariah sejak 10 tahun lalu setelah berkahwin dengan isterinya yang berasal dari kampung tersebut. Calon imam ini mempunyai sijil yang diiktiraf dan mendapat sokongan dari warga lebih muda di kampung tersebut dan warga kampung yang berfikiran lebih berani serta mahukan perubahan.
i. Mereka mahukan imam ini kerana imam ini mempunyai sijil yang diiktiraf.

ii. Imam ini boleh membawa perubahan seperti bacaan surah menyamai di masjid luar negara seperti yang mereka lihat dikaca tv, tabung masjid boleh di utilize lagi dari cara penggunaannya sekarang dan sebagainya.
iii. Mereka ada mendengar teman sekuliah calon imam tersebut telah dilantik menjadi imam dikampung yang tidak jauh dari kampung tersebut dan khabarnya cemerlang mengikut cerita-cerita dari kampung sebelah serta cakap-cakap orang kampung setempat.

PERDEBATAN

Maka wujudlah perdebatan diantara AJK masjid pimpinan imam baru dengan orang-orang kuat calon imam tersebut. Lebih parah lagi perdebatan serta cerita-cerita yang tidak dipastikan kebenarannya pun melanda seluruh kampung tersebut. Cerita-cerita mengenai peribadi kedua-dua belah pihak juga digembar-gemburkan oleh mereka-mereka yang kononnya mengenali kedua-dua belah pihak sejak zaman dibangku sekolah lagi.

Penyokong pasukan baru mula mengorek kesalahan-kesalahan kumpulan lama. Terutamanya golongan muda yang kelihatan seperti terlalu inginkan perubahan. Mereka mendakwa penduduk kampung perlu berani membuat perubahan untuk terus berjaya.

Penyokong pasukan lama pula mempersoalkan keupayaan pasukan baru melaksanakan perubahan yang belum tentu hasil kejayaannya. Mereka juga mendakwa, pengalaman yang mereka ada selama menerajui masjid tersebut akan memastikan kesejahteraan dan keharmonian kampung. Mereka amat mengenali dan memahami keperluan serta keupayaan masyarakat kampung mereka.

Seluruh kampung berdebat. Dari peringkat budak sekolah menengah sehinggalah peringkat datuk dan nenek mereka yang tinggal dikampung itu.

PIHAK KETIGA

Muncul pula pihak ketiga. Seorang darinya adalah bekas penduduk kampung tersebut yang juga bekas AJK masjid berkenaan. Beliau yang berhijrah ke kampung sebelah kerana tidak berpuas hati cara perlantikan AJK masjid sebelum ini. Sebagai orang luar yang tidak berpihak kepada mana-mana pasukan, kita pasti tahu, dia ini akan berpihak kepada siapa.



Seorang lagi adalah bekas imam masjid berkenaan yang telah bersara lebih awal dan berhijrah ke hujung kampung yang agak jauh sedikit dari masjid berkenaan kerana mengikut anak-anaknya. Sebagai orang luar yang tidak berpihak kepada mana-mana pasukan, kita pasti tahu, dia ini akan berpihak kepada siapa.

PENGAJARAN DARI CERITA

Sebagai orang luar yang tidak berpihak kepada mana-mana pasukan, pasti banyak pengajaran dan jalan penyelesaian bagi cerita ini. Banyak pendapat yang boleh diberikan dari banyak sudut, antaranya:-

i. Dari sudut tujuan dan halatuju pemimpin itu sendiri.
ii. Harapan dan kemahuan penduduk kampung yang sebenar-sebenarnya.
iii. Kebaikan dan keburukan konflik yang melanda kepada mereka serta banyak lagi.

Jadi sebagai orang luar yang tidak berpihak kepada mana-mana pasukan, kewarasan dan pertimbangan kita lebih jelas dari mereka yang melibatkan diri dalam kumpulan-kumpulan tersebut.

Cuma satu pesan saya, saya berasal dari kampung itu. Saya tahu, orang kampung itu hanya akan mendengar kepada mereka yang “somebody” sahaja. Kalau anda sekadar orang biasa, mereka bukan sekadar tak layan anda, malah tidak mahu mendengar langsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan